14 Kesilapan Yang Biasa Dilakukan oleh Pemakai Kanta Sentuh

Kanta sentuh ataupun contact lense dalam Bahasa Inggeris adalah alternatif lain untuk menggantikan penggunaan cermin mata. Pemakaian kanta sentuh adalah lebih sesuai
untuk atlet di mana cermin mata menghadkan pergerakan, kanta sentuh tidak akan berkabus seperti cermin mata apabila terdapat perubahan suhu dan lain-lain.


Terdapat juga sesetengah pemakai yang tidak mempunyai masalah rabun tetapi memakai kanta sentuh kerana tertarik dengan warna-warna yang ditawarkan yang nampak lebih menarik dan sepadan dengan fesyen yang digayakan.

Walaupun dilihat mudah untuk memakai kanta sentuh, realitinya ramai yang tidak mempunyai pengetahuan asas tentang cara-cara penjagaan yang betul dan mengundang pelbagai masalah kesihatan pada mata. Pemakaian kanta sentuh memerlukan penjagaan yang lebih teliti. Di bawah merupakan 14 kesilapan yang dilakukan pemakai dalam mengendalikan kanta sentuh:

  1.   Memakai kanta sentuh dalam jangka masa yang panjang

Meabh McHugh-Hill, seorang pelajar kolej di Liverpool memakai kanta sentuh selama 10 jam mengakibatkan matanya kering dan kanta sentuhnya seakan melekat pada matanya. Dia hampir buta apabila menanggalkan kanta sentuhnya secara paksaan dan mengoyakkan selaput matanya. Selain itu, pelakon Malaysia Saharul Ridzwan pernah terkoyak selaput mata kirinya kerana memakai kanta sentuh melebihi 12 jam. Adalah penting untuk tidak memakai kanta sentuh melebihi tempoh yang disarankan iaitu 8 jam.

Terbaru, lagi satu kes masalah mata akibat memakai kanta sentuh melebihi 10jam dan penjagaan yang kurang rapi. Baca sini.

   2.  Masuk tidur tanpa menanggalkan kanta sentuh

Seorang lelaki daripada Cincinnati, Amerika Syarikat, Chad Groeschen mengalami trauma apabila matanya menjadi buta sebelah akibat dijangkiti bakteria Pseudomonas kerana tidak menanggalkan kanta sentuhnya selama seminggu. Saya sendiri pernah masuk tidur tanpa menanggalkan kanta sentuh menyebabkan ia termasuk ke belakang mata saya, ok itu cuma gurauan, kanta sentuh tidak mungkin akan bergerak ke belakang mata, ia cuma tersekat di kelopak mata dan menyebabkan ketidak selesaan. Cara untuk keluarkan, gosok kelopak mata secara lembut arah ke bawah untuk menolak kanta sentuh keluar.

   3.  Tidak Menukar kanta sentuh dengan kerap

Setiap kanta sentuh mempunyai tempoh penggunaan contohnya sehari, 2 minggu, 30 hari ataupun setahun. Memakai kanta sentuh melebihi tempoh yang disarankan berisiko tinggi untuk dijangkiti bakteria walaupun pada zahirnya kanta sentuh anda kelihatan bersih. Buang kanta sentuh yang telah melebihi tempoh pemakaian walaupun jarang dipakai.

   4.  Tidak membasuh tangan sebelum mengendalikan kanta sentuh

Sentiasa membasuh tangan dengan sabun dan air serta keringkan dengan tuala yang bersih sebelum mengendalikan kanta sentuh untuk mengelakkan jangkitan kuman.

   5.   Membersihkan kanta sentuh dengan air paip

Pemakai kanta sentuh disarankan untuk membawa solution bersama-sama untuk digunakan pada masa-masa kecemasan. Membersihkan kanta sentuh dengan air paip adalah dilarang
sama sekali untuk mengelakkan jangkitan bakteria.

   6.  Mandi dengan memakai kanta sentuh/ Berenang dengan memakai kanta sentuh

Sama seperti point no.5 di atas, mandi dengan memakai kanta sentuh akan meninggikan risiko jangkitan bakteria. Parasit Acanthamoeba yang boleh hidup bebas dalam air berpotensi terperangkap dalam kanta sentuh dan menyebabkan jangkitan keratitis Acanthamoeba.

   7.  Mengunakan solution (larutan disinfektan) yang tidak bersesuaian

Terdapat pemakai kanta sentuh yang menggunakan larutan salin untuk membersihkan kanta sentuh tanpa menggunakan larutan disinfektan sedangkan larutan salin hanya berfungsi untuk membilas tanpa sebarang fungsi untuk membunuh kuman. Hal ini berlaku kerana harganya yang lebih murah berbanding larutan disinfektan, membuatkan pemakai tidak berfikir panjang untuk menjimatkan kos. Selain itu, solution yang telah dibuka penutupnya perlu dibuang selepas 30 hari seperti yang disarankan.

   8.  Menggunakan solution yang telah dipakai

Sentiasa menggantikan solution dengan yang baru, ini adalah kerana solution terpakai mengandungi bakteria dan hilang fungsi disinfektan dan seterusnya meninggikan risiko
jangkitan bakteria Pseudomonas.

   9.  Tidak membersihkan kanta sentuh

Walaupun kebanyakan solution sekarang mempunyai fungsi “no rub”, adalah disarankan untuk menggosok kanta sentuh dengan jari di atas tapak tangan yang telah diletakkan
solution dan bilas menggunakan solution sebelum dimasukkan ke dalam bekas kanta sentuh yang telah diletakkan solution yang baru.

 10.  Tidak membersihkan bekas kanta sentuh

Bekas kanta sentuh perlulah dibersihkan dan dikeringkan setiap kali. Namun demikian, ia hanya boleh dicuci menggunakan solution dan bukan air paip yang sering dilakukan oleh pemakai kanta sentuh. Bekas kanta sentuh juga perlu ditukar setiap 3 bulan. Sekiranya anda mencuci bekas kanta sentuh dengan air, buang segera dan gantikan dengan yang baru.

 11.  Tidak mendapatkan nasihat daripada optometri

Ramai pemakai tidak mendapat nasihat daripada optometri sebelum mengambil keputusan memakai kanta sentuh. Selain itu, lambakan kanta sentuh kosmetik yang berharga lebih murah di pasaran gelap turut menjadi faktor mengapa ramai yang memilih untuk memakai kanta sentuh tanpa mengetahui risiko penggunaannya.
 

12.  Tidak menjalankan pemeriksaan mata tahunan

Adalah penting untuk menjalankan pemeriksaan mata secara tahunan untuk mengetahui sebarang perubahan dan mendapatkan nasihat daripada doktor ataupun optometri.

 13.  Memakai kanta sentuh walaupun mata merah dan berair

Jangan memakai kanta sentuh sekiranya mata merah dan berair untuk mengelakkan keradangan pada mata menjadi semakin teruk.

  14.  Memakai kanta sentuh selepas mekap

Pakai kanta sentuh terlebih dahulu sebelum mekap. Ini adalah untuk mengelakkan residue mekap termasuk ke dalam mata dan sebelum menanggalkan mekap, tanggalkan kanta sentuh terlebih dahulu. Pastikan tangan adalah bersih dan jangan guna sebarang losyen tangan sebelum memakai kanta sentuh.

Oleh kerana saya sendiri melakukan kebanyakan daripada kesilapan-kesilapan di atas tambahan pula mata saya menjadi sangat kering apabila memakai kanta sentuh, saya lebih selesa memakai cermin mata. Saya hanya memakai kanta sentuh semasa bersukan. Sekiranya anda juga melakukan kesilapan-kesilapan yang sama, ubahlah sebelum mendatangkan masalah kesihatan pada mata anda.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *